Jumlah Paparan Halaman

Khamis, 14 Ogos 2014

Isotretinoin : Rawatan Jerawat Moden Pilihan Akhir


Jerawat 

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua pembaca dan pengikut setia blog saya. Sudah lama saya tidak mengemaskini blog saya ini memandangkan beberapa masalah dan kekangan yang saya hidapi dan ini menyebabkan saya tidak memiliki masa yang cukup kompetetif dalam menerbitkan entri terbaharu setiap masa. Sebelum saya mengulas dan membincangkan lebih lanjut berkaitan dengan topik perbincangan kita kali ini, terlebih dahulu saya mahu mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pembaca sekalian kerana setelah lebih tiga tahun blog ini diwujudkan, ia berjaya mencatatkan  jumlah capaian lawatan ( visit ) pembaca bagi kategori blog santai Bahasa Melayu, kategori kesihatan dan pengetahuan umum berkaitan kesihatan antara yang tertinggi dan paling pantas berkembang dengan hampir 100 000 jumlah lawatan! Terima kasih saya ucapkan atas sokongan tidak berbelah-bahagi anda semua dan saya akan berusaha dengan lebih lagi untuk menerbitkan lebih banyak topik berkaitan kesihatan. Maka dengan ini, bermula dari saat ini, saya akan menyentuh skop kesihatan yang lebih meluas dan tidak hanya tertumpu kepada satu skop perbincangan sahaja seperti yang dipaparkan sebelum ini. Bagi menyempurnakan anjakan paradigma ini, saya akan mulakan topik perbincangan baharu kita dengan sebuah tajuk entri seperti yang tertera di atas. Tanpa membuang masa, teruskan pembacaan anda.

Roaccutane 


Isotretinoin lebih dikenali sebagai Accutane ( pasaran USA ) juga dikenali sebagai Roaccutane           ( pasaran Eropah dan global ), merupakan sejenis ubat anti jerawat paling terkenal dengan kesan sampingannya walaupun ia menawarkn kesan pemulihan dan penyembuhan yang sangat signifikan. Isotretinoin merupakan sejenis ubat merawat jerawat di dalam kategori Retenoid, iaitu sebahagian daripada keluarga Vitamin A. Namun, ia merupakan sintetik Vitamin A yang dihasilkan untuk merawat masalah jerawat terutama jerawat yang melibatkan kesan nodula dan sista ( cysts ) yang teruk dan kronik. Ia sering ditag dan dijadikan sebagai rawatan pilihan terakhir ( last resort ) dalam merawat masalah jerawat sekiranya SEMUA jenis rawatan termasuk rawatan topikal dan penggunaan antibiotik TELAH GAGAL. Ini kerana, Isotretinoin terkenal sebagai salah sejenis ubat yang memiliki kesan sampingan paling major dan sering menjadi perdebatan dalam penggunaannya. Sebelum kita mengulas lebih lanjut berkaitan Isotretinoin, saya ingin membawa anda mengenali lebih lanjut sejarah penciptaan Isotretinoin dan mengapa ianya cukup berkesan dalam merawat masalah jerawat.

Isotretinoin ditemui secara tidak sengaja sebagai rawatan menangani masalah jerawat kronik pada tahun 1982 oleh seorang ahli dermatologi, Dr. Gary Peck. Pada awal penciptaan dan penemuannya sebagai sintetik Vitamin A, ia diklasifikasikan sebagai ubat merawat masalah berkaitan kulit terutama kanser kulit melanoma. Namun begitu, beliau mendapati kesan toksik yang terdapat di dalam Isotretinoin memiliki sifat pengecutan kelejar minyak dan ini menjadi asas kepada teori dalam merawat masalah jerawat kronik memandangkan, kebanyakan jerawat kronik terutama yang melibatkan rosacea dan sista disebabkan pengeluaran minyak atau sebum yang berlebihaan di kulit. Oleh yang demikian, setelah melalui pelbagai penyelidikan dan percubaan klinikal, akhirnya Isotretinoin dipatenkan di baawah nama dagangan Accutane untuk pasaran USA dan paten ini dimiliki dan dipasarkan oleh sebuah syarikat farmaseutikal terkenal, Hoffmann-La Roche yang berpangkalan di Switzerland. Hoffman-La Roche juga dikenali sebagai Roche merupakan antara syarikat farmaseutikal terbesar di dunia dari segi pulangan dan keuntungan tahunan dan juga saiz dana penyelidikan bagi penciptaan ubat-ubatan generasi baharu terutama ubat berasaskan kimoterapi Trastuzumab ( Herceptin ) yang terkenal, Roche juga memasarkan beberapa ubatan lain termasuk Mycophenolate ( Cellcept ), Recormon dan Capecitabine ( Xeloda ).

Pada awal pemasaran Accutane bagi pasaran USA, ia dihantui oleh pelbagai spekulasi dan perdebatan dalam kalangan pengamal perubatan moden kerana kesan sampingannya yang sangat major terutama untuk tempoh penggunan yang panjang. Ini kerana Isotretinoin memerlukan masa sekitar 6-8 bulan bagi mendapatkan kesan positifi maksimum dan sekirnaya ia gagal, regim rawatan kedua diperlukan. 


Pengecutan kelenjar minyak, sekaligus mengurangkan pembiakan bakteria


Bagaimana Isotretenioin bertindak?

Secara saintifik, mod tindakan a bertindak di dalam badan masih TIDAK DIKETAHUI sehingga kini namun dipercayai ia bertindak dengan mengecutkan kelenjar minyak ( sebaceous gland ) yang memainkan perana besar dalam mengekalkan kelembapan kulit. Secara umum, kulit memiliki lapisan minyak secara semualajadi. Ianya dirembeskan oleh kelenjar minyak yang terdapat di dalam kulit. Bakteria yang sering wujud di atas permukaan kulit, dikenali sebagai P.Acne, menjadikan minyak       ( sebum ) di kulit sebagai salah satu sumber makanan dan agen pembiakan mereka. Namun begitu, sesetengah pesakit yang menghidapi masalah jerawat terutama yang melibatkan kesan perubahan dan ketidakseimbangan hormon di dalam tubuh badan, pengeluaran minyak di wajah menjadi terlampau aktif. Ini kerana, hormon androgen yang terdapat di dalam tubuh badan lelaki mahupun wanita merupakan pencetus kepada pengaktifan kelenjar minyak. Ini menjadikan kelenjar minyak merembeskan lebih banyak minyak ke kulit wajah dan menjelaskan mengapa penghidap jerawat cenderung memiliki kulit yang lebih berminyak berbanding individu normal lain. Namun begitu, kulit wajah seseorang individu masih tidak diserang jerawat KECUALI setelah peranan bakteria P.Acne mengambil alih tempat. Ini menyebabkan, bakteria P.Acne yang wujud di permukan kulit akan menjangkiti lapisan dalam kulit terutama kelenjar minyak. Ia menjadikan kelenjar minyak kemerahan, bengkak dan menghasilkan nanah mahupun gumpalan minyak dalam kes-kes yang kronik. 


Doxycyclin ( Vibramycin ) yang terkenal

Lazimnya, pesakit yang merujuk masalah jerawat yang dihadapi mereka kepada pakar kulit ( ahli dermatologi ) di hospital, mereka akan diberikan rawatan pencegahan dan percubaan yang merangkumi, antibiotik, krim sapuan dan krim mengurangkan keradangan. Antibiotik dalam kumpulan Tetracyclines seperti Doxycycline ( Vibramycin ) mahupun Minocycline antara beberapa jenis  antibiotik yang kerap digunakan. Ini kerana, kemampuan kumpulan antibiotik jenis ini yang memiliki kesan membunuh bakteria di lapisan kulit selain ianya pantas memberi kesan konsisten dalam tempoh rawatan. Namun begitu, kesemua jenis antibiotik Tetracyclines memiliki pantang larang yang menyukarkan pesakit untuk mengambilnya. Ia WAJIB diambil semasa perut kosong kerana antibiotik ini akan bertindak dengan pelbagai jenis mineral yang terkandung di dalam makanan terutama kalsium ( keju, susu dan yogurt ), aluminium ( antasid ) mahupun zat besi              ( supplement berasaskan zat besi ). Sekiranya interaksi berlaku, kadar resapan dan kesan positif antibiotik ini akan berkurangan dan lebih membimbangkan, ianya akan termendap di dalam komponen badan yang memiliki peratusan kalsium tinggi seperti tulang dan gigi. Ini akan menyebabkan tulang dan gigi menjadi reput atau bertukar warna kepada surih. Kebanyakan doktor menyarankan pesakit mengambil antibiotik ini selepas makan. Ini disebabkan, sesetangah pesakit akan merasa loya, mual atau muntah sekiranya diambil semasa perut kosong. Saya TIDAK MENYARANKAN manhupun MENGGALAKKAN pesakit yang mengambil SEBARANG JENIS antibiotik di dalam kumpulan Tetracyclines mengambilnya sejurus selepas makan kerana RISIKO interaksi boleh berlaku. Saya lebih menggalakkan pesakit mengambilnya sekurang-kurangnya 2 jam selepas makan dan dikehendaki tidak mengambil SEBARANG jenis makanan KECUALI air kosong selama 1 jam setelah mengambil antibiotik ini. 

Pesakit juga akan diberikan krim sapuan yang memiliki sifat anti bakteria atau anti radang. Lazimnya, krim berasaskan Benzoyl Peroxide dengan kekuatan 2.5%, 5% atau 10% diberikan untuk membunuh bakteria P.Acne di kawasan kemerahan jerawat. Ia harus disapu senipis yang mampu kerana Bezyoxyl Peroxide merupakan sejenis krim yang bertindak dengan mengelupas lapisan kulit yang dihidapi jerawat. Ini menjadikan kulit lebih kering dan mudah mengelupas. Maka, bergantung kepada justifikasi pakar kulit yang merawat pesakit, ia boleh disapu pada siang atau malam hari. Namun, kebanyakkan pakar kulit lebih menyarankan pesakit memakainya pada malam hari bagi mengelakkan kesan kerosakan kulit sekiranya terdedah kepada sinaran matahari di siang hari. Sesetangah pesakit pula, tidak memerlukan bantuan Benzyl Peroxide, mereka hanya memerlukan krim sapuaan anti bakteria sahaja. Oleh itu, krim berasaskan antibiotik seperti mengandungi Clindamycin dan terkenal dengan nama dagangan Dalacin-T digunakan. Ia bertindak dengan membunuh terus bakteria jerawat tanpa kompromi walaupun risiko kerintangan antibiotik boleh berlaku. Namun begitu, penggunaan Dalacin-T tidak lagi menjadi popular kerana matlamat utamanya hanya membunuh bakteria jerawat dan sama sekali tidak merawat masalah jerawat kronik, terutama yang melibatkan perembesan minyak ke kulit wajah secara drastik. Oleh yang demikian, ketika ini, kebanyakan hospital mahupun klinik kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengunapakai krim berasaskan sulfur. Ia menggunakan sulfur sebagai agen anti bakteria dan anti pengurangan minyak di kulit wajah. Ia kerap dipreskripsikan oleh pakar kulit bersama dengan krim Benzyl Peroxide dan antibiotik. Ia bagaimanapun, mengeringkan kulit wajah terutama kepada individu yang menghidapi ketidak toleransi kepada alkohol memandangkan alkohol merupakan salah satu komponen utama penghasilan krim ini.


Ubat hormon Diane-35


Bagi sesetengah individu, rawatan yang menggunapakai ubat-ubatan di atas adalah TIDAK mencukupi atau GAGAL. Ini menyebabkan pakar perubatan beralih kepada barisan rawatan kedua yang menggunakan beberapa jenis ubat-ubatan yang lebih kuat. Khas untuk wanita, sekiranya masalah jerawat yang dihidapi mereka disebabkan oleh pengaruh hormon, maka sesetengah pakar kulit akan menggunakan ubat hormon bagi menstabilkan semula hormon androgen mereka. Cyproterone merupakan agen utama anti androgen yang juga memiliki sifat menstabilkan kitaran haid. Ia dipasarkan atas nama dagangan Diane-35 yang popular dan sehingga kini, ia menjadi salah satu daripada pil hormon wanita paling berjaya di pasaran dunia. Dari segi kawalan masalah jerawat, ia bertindak dengan menyekat reseptor androgen di kawasan kelenjar minyak. Ini menjadikan kelenjar minyak kurang merembeskan minyak ke wajah dan memberi sinar baharu kepada pesakit. Namun, keselamatan penggunaan Diane-35 bagi tempoh jangka masa panjang menjadi persoalan yang sangat kotroversi disebabkan, gangguan penyekatan reseptor androgen dalam tubuh badan. 


Retin-A yang cukup popular 


Bagi individu lain yang tidak boleh bertoleransi dengan pengambilan Diane-35 terutama lelaki, kaedah sapuan menjadi jalan terakhir dengan penguaan krim berasakan Tretinoin. Retin-A adalah antara krim pilihan kerana kemampuannya dalam mengelupas dan mengurangkan kesan kemerahan disebabkan oleh masalah jerawat. Ia memberikan kesan pengelupasan yang sederhana kuat dan ia menyebabkan sesetangah pesakit tidak mampu bertoleransi terhadap pengguaannya. Maka, sesetengah pakar kulit mengadaptasikan penggunaan Tretinoin generasi seterusnya seperti Adapelene. Penggunaan krim berasaskan Tretnoin tidak memberi kesan yang cukup konsisten kerana disamping ianya menjadikan kulit kemerahan, ia juga menjadikan kulit lebih kering dan hanya perlu disapu pada malam hari. Ini kerana, penggunaannya pada siang hari akan mendedahkan kulit kepada risiko kerosakan dan lebih parah, risiko kanser. Kebanyakan pesakit yang merekodkan masalah jerawat akan mula menunjukkan kesan perubahan yang positif selepas tempoh rawatan yang berpanjangan dengan pengambilan antibiotik sehingga penggunaan krim Tretinoin. Namun begitu, ia sama sekali tidak mengurangkan terus masalah jerawat dan dalam kebanyakan kes, jerawat akan lebih kerap menyerang walaupun dengan pesakit telah mengaplikasikan krim Tretinoin. Di sinilah, peranan rawatan moden terakhir ( last resort ), Isotretinoin digunakan.



Bagaimana jerawat terjadi?

Mengapa ia berkesan?

Seperti yang diulas oleh saya pada perenggang lepas, Isotretinoin bertindak ( diteorikan ) dengan mengecutkan terus kelenjar minyak dan ini menjadikan kulit hampir tidak berminyak sepenuhnya. Ini sekaligus mengurangkan risiko jangkitan bakteria, P.Acne yang bertanggungjawab menjadikan kulit kemerahan. Pada awal pemasaran Isotretinoin di pasaran USA, ia lebih dikenali sebagai Accutane dan menjadi pilihan rawatan akhir ( last resort ) sekiranya kesemua rawatan lain TELAH GAGAL. Pentadbiran Makanan dan Dadah USA ( FDA ) menetapkan Isotretinoin HANYA perlu digunakan dalam kes yang benar-benar serius. Isotretinoin adalah bersifat teratogenik, iaitu mencacatkan bayi dalam kandungan sehingga mampu membawa keguguran! Oleh yang demikian, FDA menetapkan Isotretinoin perlu diletak dibawah sebuah program khas yang dinamakan iPLEDGE. Program ini diwujudkan bertujuan untuk mengelakkan pesakit wanita daripada hamil sepanjang tempoh pengambilan Isotretinoin dijalankan ekoran kesan kecacatan bayi adalah sangat tinggi. iPLEDGE juga mengarahkan setiap ahli farmasi dan pakar kulit untuk mendaftar sebelum mendispensi dan mempreskripsikan Isotretinoin kepada pesakit wanita. Di USA, iPLEDGE adalah program mandatori dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pengamal perubatan boleh kehilangan lesen perubatan mereka sebagai pakar perubatan atau ahli farmasi. 



Program iPLEDGE


Berbeza di Malaysia, sehingga kini Kementerian Kesihatan Malaysia mahupun Lembaga Farmasi Malaysia TIDAK melaksanakan SEBARANG program khas khusus kepada pesakit wanita yang ingin memulakan regim rawatan Isotretinoin. Ini menjadi persoalan keselamatan dan ketirisan dalam pemberian Isotretinoin kepada pesakit. Sehingga kini, hanya borang persetujuan dan pengakuan pengguna sahaja yang ditetapkan sebelum pesakit memulakan rawatan Isotretinoin. Ini adalah sangat berbeza seperti yang diamalkan di negara maju lain selain pesakit perlu menjalani ujian tahap kolsterol dan triglyserida setiap bulan. Ini disimpulkan oleh kerana Isotretinoin berisiko tinggi dalam meningkatkan kadar kolesterol di dalam badan. Pada awal pemasaran Isotretinoin di USA, ia menjadi antara penyelesaian masalah jerawat dalam kalangan penghidap terutama remaja. Ia meraih populariti ekoran lebih 80% pesakit menunjukkan kesan pemulihan yang sangat ketara sepanjang dan selepas tempoh rawatan. Namun begitu, memandangkan Isotretinoin bersifat toksik, maka ia sering menjadi sasaran saman bernilai ribuan malah jutaan Dollar oleh pesakit yang mengambil rawatan ubat ini. Antara yang paling terkenal adalah saman bernilai lebih USD 11 juta yang difailkan oleh seorang pelakon Amerika, James Marshall ekoran dakwaan beliau yang mengaitkan  kerosakan dan kehilangan usus besar beliau setelah mengambil ubat ini. Ia merupakan satu tamparan hebat kepada Roche memandangkan Isotretinoin yang terkenal, seolah-olah tidak memberi sebarang pulangan pendapatan mereka dan krisis saman oleh pengguna yang semakin meningkat. Maka, pada tahun 2009, Roche mengesahkan mereka menarik keluar sepenuhnya Accutane di pasaran USA dan kemudian menjenamakan semula Isotretinoin dengan nama dagangan baharu, Roaccutane. Roche mengfokuskan Roaccutane untuk pasaran Eropah dan global. 


Bagaimana dengan tempoh rawatan?

Pesakit dikehendaki menjalani rawatan Isotretinoin selama 6-8 bulan berturut-turut dan memandangkan Isotretinoin tergolong dalam keluarga Vitamin A, ia perlu diambil sejurus selepas makan dan makanan berlemak digalakkan kerana ia mampu meningkatkan kadar resapan. Ia bergantung kepada potensi dan keberkesanan Isotretinoin dalam merawat masalah jerawat dan menjadikan jerawat benar-benar hilang dan tidak kembali. Setelah benar-benar menunjukkan kesan positif pemulihan, pesakit akan diawasi sepenuhnya bagi membendung potensi relapse ( berulang ). Sekiranya ini berlaku, regim rawatan kedua akan dimulakan setelah 1-2 bulan regim rawatan pertama tamat.


Berapakah dos Isotretinoin yang perlu diambil oleh pesakit?

Kadar dos yang ditetapkan bagi pesakit yang mengambil Isotretinoin adalah dikira berdasarkan berat badan dimana julat dos antara 0.5mg/kg - 1mg/kg dan dos terkumpul yang perlu dicapai oleh pesakit adalah pada kadar 120mg/kg - 150mg/kg di akhir rawatan mereka. Dos ini perlu dicapai di akhir tempoh rawatan kerana ia adalah panduan asas dalam mengelakkan potensi relapse berlaku. Namun begitu, pakar kulit akan memanjangkan untuk tempoh beberapa bulan bagi memaksimumkan jumlah dos terkumpul di dalam badan. Ini juga bermaksud semakin berat seseorang individu, semakin tinggi dos yang perlu diambil mereka. Sebagai contoh :


Pengiraan A :

Berat individu = 70kg

Dos terkumpul akhir yang perlu dicapai = ( 120mg x 70kg = 8400mg )

Dos harian = ( 1mg x 70kg = 70mg )

Bilangan hari yang perlu ditempuhi ( 8400mg/70mg = 120 hari )


Pengiraan B :

Berat individu = 70kg

Dos terkumpul akhir yang perlu dicapai = ( 150mg x 70kg = 10 500mg )

Dos harian = ( 1mg x 70kg = 70mg )

Bilangan hari yang perlu ditempuhi ( 10 500mg/70mg = 150 hari )

Namun begitu, terdapat sesetengah pakar kulit memiliki justifikasi mereka dalam menentukan kadar yang optimum untuk merawat pesakit mereka da ini didorong dengan justifikasi mereka bagi mengurangkan kesan sampingan memandangkan, kesan sampingan Isotretinoin adalah bertambah serius seiring dengan peningkatan dos. Ada dalam kalangan mereka menetapkan Isotretinoin hanya perlu diambil pada dos serendah yang mungkin iaitu sekitar 10mg - 30mg sehari atau ia boleh diselang-seli selama beberapa hari. Justifikasi ini adalah masih samar walaupun ada kajian awal menunjukkan bahawa dos minimum terkumpul iaitu dos yang tidak mengikuti julat pengiraan badan individu dapat memberikan kesan optimum yang sama atau hampir sama dengan dos konvesional yang diamalkan mengikut ketetapan asas yang digunapakai.


Apakah kesan sampingan yang boleh berlaku sepanjang pengambilan Isotretinoin?

Sepanjang tempoh rawatan dilakukan, pesakit akan menghidapi kesan sampingan seperti bibir kering, mata yang kering dan pedih, kulit kering dan merekah, kulit menjadi nipis dan mudah terluka, kulit kepala kering dan tidak berminyak malah sakit kepala. Bagi membendung kesan sampingan ini, krim pelembab berasaskan air, salap bibir, losyen dan pelembab kulit dan banyakkan mengambil air kosong sehari adalah perlu. Kesan sampingan hanya akan hilang setelah rawatan dihentikan selepas tempoh 2-3 minggu dari tarikh akhir rawatan. Pasakit juga perlu merujuk kepada pakar merawat mereka sekiranya terdapat SEBARANG kesan sampingan lain. Disamping itu, kesan sampingan seperti tekanan perasaan dan kejadian bunuh diri pernah dilapor dan dikaitkan dengan pengambilan Isotretinoin. Ia masih samar, namun sekiranya pesakit memiliki sejarah tekanan perasaan, kemurungan atau lain-lain penyakit berkaitan mental, ia DILARANG diambil sama sekali KECUALI dibawah pengawasan ahli dermatologi dan lain-lain justifikasi yang relevan.


PERINGATAN : Isotretinoin terpalit dengan reputasi buruk sebagai salah sejenis ubatan moden yang meningkatkan kecenderungan pesakit dengan masalah kesihatan mental seperti kemurungan, tekanan perasaan dan bunuh diri. Sehingga kini, kajian saintifk yang benar-benar telus masih GAGAL membuktikan adakah ubatan ini benar-benar menyumbangkan kepada kejadian sedemikian. Oleh itu, sekiranya anda mengalami sebarang simptom berkaitan sebelum ATAU semasa ATAU selepas rawatan dijalankan, sila rujuk kepada pakar kulit yang merawat anda dengan kadar segera. 


Bagaimana dengan interaksi dengan ubatan lain?

Vitamin A atau sebarang pelopor Vitamin A termasuk Beta-Carotene adalah DILARANG sama sekali diambil sepanjang tempoh rawatan dijalankan. Ini kerana, memandnagkan Isotretinoin adalah di dalam keluarga Vitamin A, maka pengambilan dengan lain-lain komponen Vitamin A akan meningkatkan risiko toksik yang akut termasuk toksik hati. Sekiranya anda mahu mengambil   Vitamin A, sela masa sekitar 2-3 bulan adalah diperlukan. Selian itu, Isotretinoin juga TIDAK boleh diambil bersama SEBARANG jenis antibiotik dalam kelas Tetracyclines. Ini termasuk Tetracycline, Doxycycline dan Minocycline. Pengambilan Isoretinoin dengan kumpulan ubat ini akan meningkatkan risiko tekanan kepada otak dan dalam kes yang jarang, ia boleh menjejaskan penglihatan secara kekal. Tidak dapat dipastikan mengapa ini terjadi, namun sila berhubung dengan pakar kulit yang merawat anda.


Kontraindikasi

Memandangkan Isotretinoin memiliki struktur yang hampir sama dengan famili Vitamin A terutama Retinoic Acid, maka, wanita yang merancang kehamilan ATAU sedang hamil adalah DILARANG SEPENUHNYA mengambil ubatan ini. Di kebanyakan negara termasuk Malaysia, ia dikategorikan sebagai X iaitu larangan penuh terhadap pengambilan bagi wanita hamil di dalam Indeks Keselamatan Kehamilan.Ini kerana, risiko kecatatan bayi dalam kandungan adalah sangat tinggi. Pesakit wanita yang mahu merancang kehamilan harus mengambil sela masa sekurang-kurangnya 6 bulan dari tarikh akhir pengambilan Isotretinoin. Ini kerana, memandangkan Isotretinoin memiliki sifat larut lemak, ia sangat mudah termendap di dalam tubuh badan dan sela masa diperlukan bagi menyingkirkan lebihan Isotretinoin yang tertinggal. Bagi pesakit wanita yang telah mendirikan rumah tangga dan masih di dalam regim rawatan Isotretinoin, anda WAJIB menggunakan lebih daripada dua jenis kaedah pencegah kehamilan, ini termasuk penggunaan kondom dan pil perancang. Kaedah ini WAJIB dilakukan kerana kebergantungan kepada hanya salah satu daripada kaedah pencegah kehamilan adalah tidak mencukupi di mana kadar keberkesanannya adalah hanya sekitar 97% -98%. Ini masih berisiko tinggi dan membawa mudarat kepada kandungan kelak.


Pilihan atau paksaan?

Setelah membaca segala ulasan ini, apakah keputusan anda dan adakah anda menghidapi masalah jerawat yang kronik sehingga memerlukan bantuan pakar? Saya harap anda menemui sesuatu yang ingin dicari anda selama ini walaupun ianya berisiko. Sekiranya anda pernah atau masih mendapatkan rawatan berkaitan jerawat terutama pengambilan Isotretinoin, Accutane mahupun Roaccutane, kongsikan pengalaman anda di ruangan komen dibawah.