Jumlah Paparan Halaman

Ahad, 21 Jun 2015

Insurans & Takaful : Kepentingan & Hak Pengguna : Bahagian 1



Tahukah anda, takaful adalah instrumen kewangan paling penting 
yang TIDAK memberi kerugian SEKIRANYA anda faham 
dengan teliti bagaimana ia berfungsi?

Asslamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada para pengunjung setia blog saya. Sudah lama saya tidak mengemaskini blog saya memandangkan saya sibuk dengan jadual harian saya setelah bekerja. Saya cuba untuk mencuri masa untuk tetap menulis dan menerbitkan entri terbaharu berikutan saya banyak menerima emel daripada pembaca yang dahagakan penulisan dan entri yang meliputi topic lebih luas dalam blog ini. Semenjak saya menerbitkan entri yang mengfokuskan kepada topic yang lebih luas, walaupun masih mengekalkan isu kesihatan sebagai topik utama, trafik bacaan harian saya naik mendadak. Ini berlaku setelah entri  Isotretinoin: Rawatan Jerawat Moden Pilihan Akhir menjadi topic semasa paling cepat berkembang dalam trafik carian harian blog saya. Ini memberi saya lebih peluang untuk saya mengembangkan topik perbincangan kita dengan lebih luas, namun apa yang pasti ia masih bersangkut paut dengan kesihatan.



Masyarkat Melayu PALING RENDAH mengambil perlindungan rakaful/ insurans 
kerana KURANG KESEDARAN dan mengganggapnya sebagai satu fobia 


Secara jelas, saya telah lama mahu menerbitkan topik ini kerana saya pada  mulanya terlepas pandang akan kepentingannya. Namun setelah diselidiki secara mendalam, akhirnya saya sedar bahawa sesihat mana sekalipun kita, kita pasti berdepan dengan 3 MUSUH UTAMA dalam kehidupan kita iaitu kematian, hilang upaya kekal dan penyakit kritikal. Kita tidak boleh lari daripada salah satu daripada tiga jenis musuh ini. Walaubagaimana pun, kita diberi jalan untuk menanganinya atau mengurangkan impaknya SEKIRANYA kita ditakdirkan mendapat salah satu atau lebih daripada risiko yang berlaku ini. Apa yang bakal saya katakan di sini MUNGKIN pernah didengari ATAU telah didengari ATAU secara tidak sengaja didengari oleh anda sebelum ini. Anda mungkin merasakan ia adalah topik perbualan yang sama sebelum ini namun saya mahu anda bertanya kepada diri sendiri, SEKIRANYA salah satu atau lebih daripada tiga musuh utama tersebut TERJADI kepada anda, bagaimanakah nasib kepada diri anda ATAU ibu bapa anda ATAU anak dan isteri/ suami anda? Pernahkah anda terfikir akan nasib yang bakal menimpa? Saya sering mendapat JAWAPAN yang boleh dikategorikan sebagai SUDAH TERHANTUK BARU TERGADAH kerana KEBANYAKKAN daripada individu yang ditemui saya telah menimpa nasib sedemikian dan ini amat merugikan kerana matlamat utama perlindungan takaful adalah mahu melindungi mereka yang masih sihat. PERLU DIINGATKAN BAHAWA TAKAFUL HANYA BOLEH DIAMBIL SEMASA SIHAT dan sekiranya anda TELAH DISAHKAN JATUH SAKIT, ANDA TIDAK LAYAK UNTUK MENDAPATKAN PERLINDUNGAN TAKAFUL kerana matlamat takaful hanya ingin melindungi mereka yang sihat daripada ditimpa kecelakaan kelak yakni sakit.  Sebelum mereka disahkan menghidapi salah satu daripada  tiga musuh utama tersebut, mereka kerap menyatakan ayat-ayat di bawah:


“Cukup bulan saya ambil”

“Nantilah, saya masih sihat”

“TAK ada duit yang cukup”

“ Agen insurans tu cakap semua manis. Time nak wat claim, lansung cakap tak boleh! Penipu!”

“Benda ni ( takaful ) bazir je! Buang masa masuk kalau masuk! Hospital kerajaan kan banyak!”

“Tak penting semua ni! Aku ada duit untuk cover bil hospital aku!”




Rajah di atas menggambarkan sesuatu yang normal
dalam kalangan masyarakat kita



Itu merupakan sebahagian kecil ayat-ayat klise yang sering didengari oleh saya namun kerap saya katakan, kita TIDAK BOLEH MERAMAL sejauh mana kedudukan kesihatan dan kewangan yang diberikan oleh kerajaan  WALAUPUN kita melabur ribuan ringgit dalam supplement, ubat-ubatan mahupun berjoging 10KM sehari. Apa yang perlu kita lakukan disini adalah, carilah perlindungan semasa kita masih sihat kerana kita tidak tahu apa yang bakal berlaku kelak. Sekiranya anda tidak mahu memikirkan nasib diri sendiri, kasihanilah ibu bapa anda yang telah membelanjakan sejumlah wang yang tidak terkira banyakkan dalam membesarkan anda atau anak/isteri & suami yang masih bergantung harap kepada anda. Adakah anda mahu melihat mereka menderita setelah anda sakit atau lumpuh atau meratapi atas pemergian anda kelak? Pernah tidak anda terfikir berapa banyak jumlah hutang yang ditanggung anda dan bakal diwarisi oleh mereka setelah ketiadaan atau ketidakupayaan anda untuk menyelesaikannnya kelak? Ia satu SEKSAAN! Ya! Satu SEKSAAN kepada mereka dan semestinya kepada anda! Sekiranya anda masih ingin mengetahui apakah yang terbaik boleh dilakukan oleh anda kini sementara masih sihat, di sinilah peranan saya mahu mendidik anda agar CELIK takaful kerana apa yang bakal diperkatakan oleh saya ini mungkin dapat mebantu anda dalam merangka atau memilih produk takaful yang terbaik untuk diri anda mahupun keluarga. Sekiranya anda merasakan apa yang saya perkatakan ini adalah sia-sia, saya tidak mengharapkan anda menghabiskan bacaan entri ini kerana anda mungkin berfikir simpanan di dalam takaful adalah satu bentuk pembaziran jangka masa panjang.



Setiap hari, kita sering disajikan dengan berita sedemikian rupa


 Namun, sekiranya anda memikirkan nasib diri, ibu bapa dan anak/ isteri & suami anda, teruskan pembacaan anda. Ingat, ANDA MASIH SEMPAT MERUBAH SEGALA-GALANYA SEMENTARA ANDA MASIH SIHAT. SETIAP 1 SAAT PENANGGUHAN ADALAH SEPERTI 1 SAAT ANDA BAKAL KEHILANGAN NYAWA kerana kita tidak tahu bila dan di mana kita bakal berdepan dengan tiga musuh utama tadi! Memandangkan entri ini bakal menjadi entri yang sangat panjang, maka saya akan menerbitkan sehingga tiga entri bagi mengupas serba sedikit bermula dari pengenalan takaful, elemen penting yang perlu ditimbang tarakan  sebelum mengambil pelan takaful dan nilai tambah dalam setiap pelan takaful yang ditawarkan. Bagi memberi gambaran jelas berkaitan takaful, saya akan menyertakan bersama contoh atau situasi yang relevan bagi memudahkan anda memahami intisari yang ingi disampaikan oleh saya.


Apakah Perbezaan Antara Insurans dan Takaful?

Terdapat pelbagai takrifan yang boleh digunapakai dalam mengtakrifkan insurans dan takaful. Namun secara ringkas, insurans dan takaful adalah satu bentuk entiti yang hampir sama  yakni, menawarkan perlindungan kepada peserta dalam menjaga kesihatan mereka. Apa yang membezakan insurans dan takaful adalah, insurans menggunapakai sistem konvensional manakala takaful pula menggunapakai sistem patuh syariah yang meliputi aspek perundangan dan perbankan Islam dari teras hingga ke penggunaanya. Ini bererti, takaful  MENGHARAMKAN tiga elemen utama dalam sistem kewangannya iaitu, riba ( faedah/ bunga ), gharar ( ketidak pastian ) dan maysir ( perjudian ). Ketiga-tiga elemen ini adalah musuh utama dalam sistem muamalat Islam kerana ia menguntungkan sebelah pihak sahaja, terutama pengendali kewangan ( insurans ) dan menindas pelanggan ( peserta/ pemegang polisi ) dalam urus niaga mereka. Dalam kalangan kita, pasti telah ketahui bahawa ketiga-tiga unsur adalah diharamkan disisi syarak, namun pasti ramai dalam kalangan kita masih tidak ketahui, bagaimana dikatakan bahawa ianya memberi kesan secara lansung kepada peserta kerana insurans dan takaful adalah satu entiti yang menawarkanperkhidmatan yang hampir sama kepada pelanggan mereka. Bagi menjawab persoalan ini, saya akan mengulasnya pada perenggan yang berikut bagi memudahkan anda memahaminya secara terperinci.


Konsep Asas Takaful

Di dalam takaful, konsep Tabarru’ merupakan konsep paling asas dalam menjalankan urus niaga takaful. Tabarru’s bermaksud tolong-menolong antara satu sama lain. Ia memperuntukkan sebahagian wang yang dikumpulkan oleh peserta ke dalam satu tabungan khas dan kemudian digunakan untuk tujuan pertolongan sekiranya ada antara kalangan peserta ditimpa bencana atau kecelakaan. Sebagai contoh :

Terdapat 1000 orang peserta yang mencarum sekitar RM 200 untuk pelan Takaful A. Daripada       RM 200 yang dicarum oleh setiap peserta, sejumlah RM 100 seorang akan dimasukkan ke dalam tabungan khas Tabarru’  untuk tujuan pertolongan sekiranya salah seorang atau bebrapa orang peserta mengalami kecelakaan seperti jatuh sakit. Ini bererti, jumlah tabungan Tabarru’ yang dikumpulkan adalah berjumlah RM 10 000. 

Ini menunjukkan bahawa takaful adalah satu konsep muamalat Islam yang member pertolongan kepada peserta sekiranya mereka ditimpa kecelakaan atau bencan ke atas diri mereka. Konsep ini yang membezakan takaful dan insurans konvensional kerana sistem konvesional hanya bersifat individu dimana segala bentuk pertolongan adalah melalui syarikat insurans dan ini sangat berbahaya kerana sekiranya syarikat insurans TIDAK mampu membayar jumlah pampas an kepada peserta, maka ia boleh diistiharkan sebagai muflis. Bagi membendung perkara ini terjadi, riba                           ( bunga/ faedah ) akan dikenakan bagi setiap urusan jumlah beli insurans kepada peserta bagi menjadikan kewangan syarikat insurans mampu berdaya saing dan kukuh.

Di dalam takaful,  dua konsep penting yang menjadi tunjang dalam pelaksanaannya sebagai institusi kewangan berlesen bagi menjalankan urus niaga yang menawarkan perlindungan kepada peserta. Ia adalah konsep mudharabah dan wakalah.


Apakah Itu Mudharabah?

Mudharabah adalah salah satu daripada pelbagai konsep muamalat islam dan konsep ini merupakan antara yang terkenal dan menjadi asas dalam kebanyakan sistem perbankan islam di seluruh dunia. Ia merupakan konsep keuntungan bersama yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dalam urus niaga. Ia bertindak dengan pihak pengendali ( syarikat takaful ) menetapkan peratusan pembahagaian keuntungan yang ditetapkan sebelum peserta menandatangani surat perjanjian ( polisi ). Lazimnya, konsep mudharabah menetapkan keuntungan 70 : 30 dimana, 70% keuntungan diberikan kepada pihak syarikat dan baki 30% diberikan kepada pelanggan. Namun, peratusan ini boleh berubah mengikut produk yang ditawarkan oleh syarikat seperti perkongsian 50 : 50 atau 60 : 40 atau 80 : 20 atau seperti mana yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Di dalam sektor takaful, konsep ini menjadi asas perkongsian keuntungan dalam pembahagian lebihan keuntungan atau lebih dikenali sebagai surplus. Apakah itu surplus? Saya akan menerangkannya dalam entri ketiga memandangkan ia termasuk di dalam topik nilai tambah pelan takaful.


Apakah Itu Wakalah?

Wakalah merupakan satu konsep yang member hak pelantikan  syarikat takaful  sebagai wakil atau institusi yang diwakilkan dalam menguruskan wang yang diamanahkan oleh peserta  kepada mereka. Syarikat akan menggunapakai pelbagai strategi bagi menguruskan wang peserta bagi mendapatkan keuntungan atau memberi pelbagai manfaat kepada pelanggan mereka atau menguruskan pampas an yang akan dituntut oleh peserta melalui tabungan Tabarru’ sekiranya berlaku kecelakaan kepada peserta kelak. Sebagai contoh :

Syarikat takaful A menguruskan sejumlah RM 1 000 000 tabungan Tabarru’ yang diperolehi daripada 1000 orang peserta. Daripada 1000 orang peserta yang mencarum, disahkan bahawa 12 orang mengalami sakit kritikal dan setiap dalam kalangan mereka menuntut sejumlah RM 10 000 bagi tuntutan penyakit kritikal yang dialami mereka. Bagi memudahkan proses tuntutan dan selaras dengan konsep Wakalah, syarikat takaful A diberi kuasa untuk mentadbir dan menguruskan tabungan Tabarru’ tersebut untuk mengagihkan sejumlah RM 10 000 seorang kepada 12 peserta yang disahkan mengalami penyakit krtikal.


Pendek kata, Wakalah adalah satu sistem yang memberi kuasa kepada pengendali takaful untuk melakukan yang terbaik bagi setiap urusan dana-dana peserta sehingga kepada urusan tuntutan dan seumpama dengannya.  Memandangkan syarikat takaful menjadi wakil yang dilantik, maka sejumlah yuran TANPA riba dikenakan sebagai timbal balas kepada pengendali takaful dan ia dibayar oleh pihak peserta semasa menyertai pelan takaful yang diambil oleh mereka.
Ini sangat berbeza dengan insurans konvesional, pihak syarikat ( insurans ) merupakan penanggung sepenuhnya sebarang risiko setelah wang diberikan oleh pelanggan kepada mereka. Ini adalah sangat berbahaya keran sekiranya oihak syarikat diitiharkan muflis, maka kedua-dua pihak akan rugi dan wang pelanggan akan hangus ditambah pula yuran yang dikenakan adalah berkali ganda daripada yang sepatutnya. Ini kerana ia menggunakan riba bagi menyelamatkan sistem perbankannya dan ini sangat menindas hak peserta yang mengamanahkan wang mereka untuk dikendalikan oleh pihak syarikat. Berbeza dengan Sistem wakalah, ia unik kerana pihak syarikat ( takaful )  hanya mengenakan caj atau yuran mengikut kadar yang dipersetujui dan sekiranya syarikat berada diambang muflis, ia tidak akan muflis sepenuhnya memandangkan konsep mudharabh menetapkan kedua-dua pihak ( pihak takaful dan peserta ) perlu menanggung keuntungan dan kerugian mengikut peratusan yang dipersetujui bagi menjadikan salah satu atau kedua-dua pihak tidak muflis sepenuhnya.




Takaful melindungi kemaslahatan ummah 



Saya telah menjelaskan secara kasar apakah itu takaful dan bagaimana ia berbeza dengan  insurans konvensional lain memandangkan ianya menggunapakai tiga elemen utama dalam menjalankan urus niaganya iaitu, Tabarru’, Mudharabah dan Wakalah. Diharap anda dapat memahami dengan jelas bagaimana takaful sebenarnya membawa faedah kepada kedua-dua belah pihak dan ia tidak menindas peserta dalam mendapatkan perlindungan yang diingini mereka. Di dalam entri seterusnya, saya akan mengulas lebih lanjut berkaitan dengan elemen penting yang perlu ditimbang tarakan  sebelum mengambil pelan takaful . entri tersebut akan membantu anda untuk melihat secara jelas kaedah atau cara terbaik dalam mengenalpasti pelan takaful terbaik yang ingin diambil oleh anda. Sehingga berjumpa lagi.