Jumlah Paparan Halaman

Sabtu, 19 Oktober 2013

Jerawat : Musuh No.1 !


Jerawat ?

Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada anda semua. Bertemu kita kembali dan terima kasih saya ucapkan kerana sudi setia bersama saya. Saya harap anda semuz sihat sejahtera dan berpuas hati dengan sesi pembongkaran Vitamin B17 yang dipos dalam empat bahagian entri lalu. Sebarang soalan, anda boleh kemukan kepada saya di ruangan komen tertera. Baiklah, terlebih dagulu saya ingin ucapkan terima kasih kerana tidak putus-putus mengajukan soalan. Pelbagai soalan dikemukan samada di ruangan komen blog ini atau juga di Fan Page saya. Saya menerima banyak soalan, cadangan dan pandangan berkaitan dengan supplement, antioksida, pemilihan produk dan tidak lari juga cadangan terhadap entri pos saya yang akan datang. Baiklah, demi memenuhi permintaan anda semua, saya akan memilih cadangan topik yang mendapat permintaan tertinggi untuk dibincangkan di dalam entri pos blog saya ini. Namun, tidak bererti saya akan memilih yang mendapat ranking tertinggi sahaja, ini kerana cadangan yang lain akan saya utarakan kelak cuma saya memerlukan lebih masa dalam berbuat demikian. Diharap anda jangan bimbang atau kecewa. Baiklah, berbalik semula kepada topik kita hari ini, sudah pasti yang teruja kerana anda pasti teringin mengetahui lebih mendalam berkaitan masalah tersebut. Jerawat, satu masalah mahupun musuh No.1 para remaja dewasa kini. Di dalam entri ini, saya akan membincangkan secara terperinci berkaitan faktor yang menyumbangkan kepada masalah jerawat dan cara menanganinya juga rawatan yang boleh digunapakai dalam membenteras masalah kulit yang mencengkam jiwa remaja ini. Teruskan pembacaan anda!



Punca ?


Jerawat adalah sejenis masalah kulit yang paling umum dihidapi oleh kebanyakan individu terutama para remaja. Ia melibatkan keradangan, kemerahan, kulit berminyak, bintik putih dan hitam mahupun sista ( cysts ) pertumbuhan jerawat yang teruk. Di dalam istilah perubatan, jerawat lebih dikenali sebagai Acne, ia merupakan istilah umum yang digunapakai dalam semua jenis masalah jerawat yang terjadi. Isitilah Pimple pula lebih digunapakai kepada jerawat kecil yang hanya menimbulkan keradangan halus dan tidak menyebabkan tompokan merah yang serius atau besar. Terdapat pelbagai lagi istilah jerawat yang digunakan, namun saya tidak mahu menyentuh secara mendalam kerana saya hanya mahu mengfokuskan kepada faktor yang terlibat, rawatan dan penjagaan yang berkesan dalam menangani masalah ini.

FAKTOR

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbangkan kepada masalah ini. Antaranya hormon, genetik, kesan fisologi, dan juga diet harian. Perubahan hormon dipercayai sebagai punca utama dalam menyumbangkan kepada masalah jerawat. Ia berlaku apabila hormon androgen dirembeskan semasa proses akil baligh berlaku. Ini menyebabkan liang minyak yang dikenali sebagai kelenjar Sebaceous mengeluarkan sejenis bahan berminyak yang dikenali sebagai sebum. Secara normal, lapisan kulit wajah sememangnya dilindungi oleh sebum, namun aktiviti dan perubahan hormon yang diakibatkan oleh androgen menyebabkan pengeluarannya melebihi yang sepatutnya. Ini menjadikan kulit wajah lebih berminyak dan risiko menghidapi jerawat amat tinggi. Bakteria adalah sebahagian daripada kulit, ia hidup secara semulajadi dan ia dikawal mengikut kebersihan kulit yang dimiliki oleh seseorang individu. Apabila kulit lebih berminyak, ia akan memerangkap lebih banyak kotoran dan pencemaran. Ini menyebabkan bakteria lebih mudah membiak dan menjadikan lebihan minyak yang terdapat di kulit wajah sebagai makanan mereka. P. Acne adalah bakteria yang sering dikaitkan dengan masalah jerawat. Namun, tidak semua invididu yang memiliki kulit wajah cenderung berminyak akan menghidapi jerawat. Ia bergantung kepada invidu namun secara majoritinya hampir kebanyakan individu yang menghidapi jerawat memiliki kulit wajah berminyak. Ini menjadi perdebatan dalam kalangan penyelidik kerana sehingga kini mereka gagal mengaitkan secara sahih adakah hormon-bakteria-kulit berminyak benar-benar merupakan punca utama jerawat berlaku. Apa yang pasti, kulit yang berminyak akan dijangkiti bakteria, dan ini mengakibatkan sistem pertahanan badan mengambil tempat dalam memusnahkan kemasukan bakteria ke dalam badan. Sel darah putih akan cuba bertindak dan memusnahkan bakteria yang menyerang masuk ke dalam sel kulit, dan ini membebaskan histamine dan  beberapa lagi jenis sel darah putih dalam membendung pembiakan bakteria tersebut. Ini mengakibatkan kawasan yang dijangkiti kemerahan dan keradangan kesan daripada aktiviti sel darah putih itu sendiri. Ini menjadi jawapan kepada mengapa kulit berjerawat akan kemerahan, kesakitan dan keradangan.


Hormon sering dikaitkan dengan masalah jerawat


Selain itu, masalah genetik juga dikaitkan dengan masalah jerawat. Ini bagaimanapun ia adalah faktor yang kurang dipercayai oleh kebanyakan penyelidik kerana tidak semua individu yang menghidapi jerawat diakibatkan oleh keturunan terdahulu. Ada juga yang memiliki sejarah kulit yang bebas daripada jerawat menghidapi jerawat dan ada juga yang memiliki sejarah kulit yang berjerawat tetapi mereka bebas jerawat. Ini bagaimanapun hanya satu andaianya kerana genetik adalah sesuatu yang kompleks. Ia hanya boleh diramal namun sukar sekali disahkan kesahihannya dalam sesetengah kes berkaitan. Disamping itu, kesan fisiologi juga dikaitkan dengan masalah jerawat. Ramai penyelidik berpendapat bahawa kesan secara lansung akibat tekanan, stress mahupun jiwa dikaitkan dengan jerawat. Pendapat ini diterima kebanyakan penyelidik dan saintis kerana pengaruh dan kesan hormon androgen terhadap perkembangan jerawat dipengengaruhi sedikit sebanyak oleh masalah psikologi. Apabila seseorang individu stress atau berada dalam tekanan, maka, jerawat akan muncul di beberapa kawasan. Lazimnya, T-Zone ( dahi dan hidung ), pipi, kawasan tulang rahang dan dagu adalah paling kerap diserang jerawat. Ini bagaimanapun tidak dapat dijelaskan secara terperinci mengikut kaedah saintifik kerana kesan psikologi adalah pelbagai dan ia merupakan satu perkara yang sangat kompleks dan mustahil dalam sesetengah bab. Ini kerana, minda adalah entiti yang harus dikawal secara positif dna bukan secara paksaan. Faktor terakhir yang sering menjadi bualan dan perbincangan apabila dikaitkan dengan masalah jerawat adalah diet. Umum mengetahui bahawa diet yang buruk mempengaruhi kesihatan kulit. Namun sejauh manakah kebenarannya ?



Diet tidak seimbang sering dikaitkan dengan masalah jerawat

 Sebenarnya, kaitan antara diet dan jerawat masih lagi samar dan tidak jelas. Ini kerana sehingga kini tiada sebarang bukti saintifik yang menyokong teori ini. Namun, pengambilan gula/ glukosa yang berlebihan adalah salah satu faktor yang paling diyakini. Ini kerana, diet yang berasakan gula berlebihan boleh meneyebabkan masalah jerawat bertambah buruk. Gula pada masa yang sama digunakan oleh bakteria untuk dijadikan makanan. Ini sekaligus menggalakkan pembiakan bakteria dan memburukkan lagi keadaan pesakit. Selain itu, makanan berindex glisemik tinggi seperti coklat juga mempengaruhi perkembangan jerawat. Coklat secara umum baik untuk kesihatan, namun kebanyakan porduk coklat di pasaran mengandungi kandungan gula yang tinggi. Saranan kepekatan coklat tulen yang baik untuk kesihatan haruslah sekurang-kurangnya 70% dan keatas. Majoriti produk di pasaran mengandungi kadar gula yang tinggi. Ini menjadikan coklat sebagai mitos kepada masalah jerawat. Susu juga dikaitkan dengan masalah jerawat, ada sesetengah individu yang meminum susu ( sebarang jenis ) akan lebih cenderung diserang jerawat. Namun, sehingga kini tiada sebarang bukti sahih yang menyokong dakwaan ini. Namun, walau apapun bukti atau faktor yang dinyatakan, jerawat tetap menjadi menjadi masalah terbesar remaja kerana ia melibatkan keyakinan diri. Ia sering kali mengguris perasaan individu yang menghidapi jerawat terutama kepada mereka yang menghidapinya di usia muda, bekerja dan keadaan kulit yang teruk akibat kesan pigmentasi dan parut yang ditinggalkan. Ini menyebabkan mereka kurang keyakinan diri dan tidak boleh mengfokuskan kepada rutin harian mereka dengan baik. Lebih menyakitkan apabila ada di antara kenalan mahupun rakan atau juga ahli keluarga yang mengeluarkan kata-kata berbaur penghinaan yang menyakitkan hati. Maka tidak hairanlah, kita sering mendengar kejadian di luar jangkaan seperti tekanan perasaan dan juga bunuh diri. Maka, di dalam entri ini, saya mahu berkongsi sedikti sebanyak berkaitan dengan rawatan yang terdapat dalam mengatasi masalah jerawat dan penjagaan khusus yang boleh dipertimbangkan anda.



Rawatan moden

Rawatan Moden

Rawatan moden memerangi jerawat terbahagi kepada dua iaitu topikal ( sapuan ) dan oral ( makan ). Ia menggunakan pakai ubatan moden dalam memerangi jerawat. Saya akan menyentuh dahulu kaedah rawatan moden topikal kerana ia merupakan percubaan rawatan pertama yang sering digunapakai oleh pakar kulit dalam mengatasi masalah ini.



Benzoyl Peroxide


1) Benzoyl Peroxide

Ia merupakan sejenis agen Peroxide yang sangat efektif dalam membunuh bakteria jerawat, mengurangkan keradangan dan kemerahan juga menjadikan penampilan jerawat tidak kelihatan. Walaubagamanapun, ia hanya sesuai kepada jerawat yang sederhana dan sederhana besar, juga kepada jerawat yang tumbuh setempat. Ia tidak sesuai kepada jerawat yang diakibatkan oleh cysts kerana ia meningkatkan sensitiviti kepada kekeringan kulit dan ini akan lebih menjadikan kulit cenderung berminyak.



Salicylic Acid

2) Salicylic Acid

Ia adalah agen merawat jerawat paling kerap dan umum digunakan ketika ini. Salicyclic Acid ( SA ) bertindak dengan mengelupas lapisan kulit mati yang menyumbangkan kepada masalah jerawat. Ini dipercayai kerana lapisan kulit mati yang tebal dikenali sebagai hyperkeratinization memerangkap lebih banyak bakteria dan habuk, sekaligus menyebabkan jerawat. SA banyak digunakan di dalam kebanyakan produk anti jerawat yang berasaskan pencuci wajah termasuk jenama terkemuka. Ia bagaimanapun tidak begitu praktikal kepada sesetengah individu kerana kesan keratolitiknya yang sederhana kuat dapat menghakis lapisan minyak semula jadi kulit, sekaligus meningkatkan pengeluaran minyak yang berlebihan dan menyumbangkan kepada masalah jerawat. SA juga berisiko meningkatkan kekeringan kulit dan kulit merekah. Maka, ia hanya sesuai kepada sesetengah indivu sahaja.



Triclosan


3) Triclosan

Ia adalah sejenis agen antibakteria yang unggul dan sering digunakan secara sapuan luaran. Ia juga digunakan dalam kebanyakan produk pencuci muka memerangi jerawat. Triclosan bertindak membunuh bakteria jerawat dengan pantas, namun ia tidak sesuai kepada individu yang memiliki kulit kering dan sensitif.


Acne Lotion


4) Sulfur

Sulfur adalah antara rawatan topikal moden yang kini menjadi pilihan kebanyakan pakar kulit. Ia bertindak dengan merencatkan asid folik yang menjadi salah satu makanan kepada bakteria P.Acne. Ia sering digunakan atas jenama Acne Lotion. Namun, ia tidak sesuai kepada sesetengah individu kerana sifatnya yang boleh mengeringkan kulit wajah. Selain itu, ia juga tidak sesuai kepada individu yang alah terhadap alkohol dan pewangi kerana alkohol merupakan salah satu bahan utama dalam pembuatan losyen ini.




Clindamycin


5) Antibiotik topikal

Ini adalah antara langkah pertama yang mula menunjukkan pesakit tidak menunjukkan kesan pemulihan setelah penggunaan krim sapuan biasa telah gagal. Antibiotik sapuan yang menjadi pilihan adalah Clindamycin, ia dipasarkan atas beberapa jenama terutama Dalacin-T yang terkenal. Ia merupakan krim antibiotik menentang jerawat terbaik pernah dihasilkan kerana ia membunuh terus bakteria walaupun risiko kerintangan antibiotik boleh berlaku. Walaupun Clindamycin boleh didapati di farmasi persendirian, namun ia masih memerlukan preskripsi dan pengawasan daripada ahli farmasi bertauliah kerana dikhuatiri risiko kerintangan antibiotkik boleh berlaku. Ia harus disapu pada sebelah malam sebelum tidur dan wajah harus dicuci dengan air bersih di pagi hari keesokannya. Ia tidak boleh disapu ketika siang hari kerana kesannya seolah-olah membakar kulit. Ia juga kurang sesuai kepada individu yang tidak boleh bertoleransi terhadap krim kerana krim bersifat minyak, terutama kepada mereka yang memiliki wajah cenderung berminyak.



Krim Tretinoin


6) Tretinoin

Ia adalah agen Retinoid yang menjadi langkah terakhir dalam rawatan topikal memerangi jerawat. Ia menjadi pilihan No.1 kebanyakan pakar kulit apabila semua langkah topikal yang digunakan GAGAL. Tretinoin merupakan sinstetik Vitamin A yang kerap digunakan sekiranya pesakit tidak menunjukkan kesan pemulihan yang positif. Ia bertindak dengan mengelupas lapisan sel kulit mati dan lebihan minyak yang terdapat di kulit wajah. Ia adalah agen anti hypekeratinization yang efektif dalam memusnahkan lapisan tersebut. Tretinoin popular dipasarkan atas jenama Retin-A. Namun begitu, ia hanya boleh dipreskripsikan oleh pakar kulit kerana kesan sampingannya yang agak major. Antaranya, kekeringan kulit yang melampau, kemerahan dan kulit menjadi sensitif kepada cahaya matahari. Oleh yang demikian, ia WAJIB disapu ketika malam hari, yakni sebelum tidur dengan sedikit. Ini bagi mengelakkan kesan sensitif kepada pendedahan cahaya matahari. Ia dikhuatiri akan meningkatkan kesan kekeringan kulit dan risiko kanser kulit. Walaupun pesakit akan merasa kesakitan dan pedih selepas penggunaan, namun ia akan hilang setelah 1-2 minggu penggunaan.



Krim Adapelene

7) Adapelene

Adapelen adalah sejenis sintetik Vitamin A yang dipasarkan atas jenama Differin. Seperti Tretenoin, ia bertindak sama cuma ia lebih bertoleransi terhadap kulit. Ia adalah generasi kedua Tretenoin yang lebih lembut terhadap kulit walaupun kesannya tidak jauh beza dibandingkan dengan Tretenoin. Apa yang menarik ialah, ia lebih stabil di bawah cahaya mentari, maka ia kurang membawa kesan kemerahan. Namun, Adapelene harus disapu pada malam hari kerana dikhuatiri akan mengeringkan kulit pada siang hari. Adapelene hanya diberikan kepada pesakit yang tidak boleh bertoleransi kepada kesan Tretenoin atau sangat sensitif kepada Tretenoin. Ia juga hanya diberikan kepada pesakit melalui preskripsi pakar kulit yang bertauliah, sama seperti Tretenoin

Sebentar tadi, kita telah melihat rawatan moden yang menggunapakai kaedah topikal ( sapuan luaran ). Kali ini, saya akan menyentuh pula rawatan moden oral yang memerlukan pesakit mengambil ubatan moden dengan memakannya. Rawatan ini lebih berkesan kerana ia bertindak dari dalam badan. Namun, ia sering dikaitkan dengan kesan sampingan yang serius termasuk laporan bunuh diri. Walaupun jarang, namun ia memerlukan pemerhatian yang amat teliti kerana kebanyakan ubatan moden berasaskan oral bertindak dengan menggangu fungsi fiologi badan.



Doxycycline

1) Doxycycline

Ia adalah pilihan pertama para doktor dan pakar kulit dalam merawat masalah jerawat. Doxycline adalah antibiotik yang sangat popular kerana ia membunuh bakteria P.Acne yang menjadikan masalah jerawat bertambah teruk. Ia dikatakan berkesan merawat jerawat dari sekecil sehingga sebesar keradangan. Ia dipasarkan atas nama dagangan Vibramycin dan juga lain-lain generiknya yang digunakan di hospital dan farmasi. Walaubagaimana pun, Doxycycline memerlukan penjagaan yang amat rapi semasa mengambilnya. Ini kerana Doxycycline merupakan salah satu daripada beberapa jenis antibiotik yang paling banyak terikat dengan pantang larang. Ia tidak boleh diambil bersama antacid, supplement berasaskan mineral, makanan mengandungi kalsium ( keju dan susu ), zat besi ( Iron ) dan apa-apa mineral lain kerana ia akan menurunkan keberkesanan antibiotik ini.Pesakit harus menjarakkan pengambilan antibiotik ini sekurangnya-kurangnya 2 jam selepas makan atau 30 minit sebelum sarapan. Ini kerana Doxycyline adalah tidak stabil dengan kehadiran makanan kerana dikhuatiri kandungan mineral di dalam makanan akan menggangu kadar penyerapan dan kerberkesanannya. Pengambilan antibiotik ini memerlukan masa yang sangat panjang untuk melihat kerbekesanannya.Tempoh 3 bulan pertama adalah percubaan pertama dan sekiranya tidak menunjukkan sebarang kesan positif, regim ini akan dilanjutkan sehingga 6-8 bulan berikutnya. Namun, Doxycycline sering sering mendapat reputasi antibiotik yang buruk kerana kesan sampingannya yang di luar jangkaan. Antaranya, kecacatan pertumbuhan tulang kerana ia termendap di lapisan tulang, pereputan gigi, sensitif terhadap cahaya matahari dan risiko meningkatkan ketidakseimbangan persekitaran usus yang tidak sihat.




 Erythromycin Ethyl Sucinate ( EES )


2)  Erythromycin Ethyl Sucinate ( EES ) adalah rawatan antibiotik kedua yang digunakan dalam merawat masalah jerawat. Ia kurang popular berbanding Doxycycline kerana ia hanya berkesan dalam mengurangkan masalah keradangan dan kemerahan yang diakibatkan oleh jerawat. Walaupun EES boleh digabungkan bersama pengambilan Doxycycline, namun ia harus diambil selepas makan kerana ia tidak digalakkan diambil semasa perut koson. Ini kerana sifatnya yang mengganggu perut akan mengakibatkan ketidakselesaan kepada perut dan lain-lain masalah berkaitan.



Isotretinoin


3) Isotretinoin

Ia adalah rawatan oral terakhir yang digunakan dalam merawat masalah jerawat. Isotretinoin adalah sintetik Vitamin A yang bersifat teratogenik, maka ia DILARANG sama sekali diambil oleh wanita mengandung kerana risiko kecacatan bayi boleh berlaku. Ia dipasarkan atas jenama Accutane atau Roaccutane dan Isotretinoin merupakan rawatan pilihan terakhir ( last resort ) kerana kesan sampingannya yang sangat tinggi. Ia hanya boleh dipreskripsi oleh pakar kulit yang benar-benar bertauliah dan memiliki lesen/ kebenaran tertentu kerana selain ianya mahal, ia juga memiliki banyak kesan sampingan yang masih lagi menjadi persoalan keselamatan sehingga kini. Isotretinoin bertindak dengan mengecutkan terus kelenjar Sebaceous yang berperanan dalam pengeluaran minyak di kulit wajah, lantas menjadikan pembiakan bakteria lebih terkawal. Ini dapat mengurangkan masalah jerawat secara drastik kerana lebih kurang 80% daripada pesakit yang mengambil Isotretinoin menunjukkan kesan pemulihan yang sangat drastik dan ketara. Disebabkan Isotretenoin memiliki kesan sampingan yang amat tinggi, maka pesakit perlu menjalani pengawasan intensif seperti pengawalan kadar Triglyceride kerana ia berisiko meningkatkannya. Selain itu, kesan sampingan lain yang turut dirasai oleh pesakit adalah kulit serta bibir yang kering, kekeringan mata dan peningkatan berat badan bagi sesetengah pesakit. Walaubagaimana pun, terdapat dua kesan sampingan yang sehingga kini menjadi perdebatan yang amat kontroversi iaitu risiko kemurungan dan bunuh diri selepas pengambilan Isotretenoin ini. Walaupun pernah dilaporkan kes sedemikian, namun ia masih kekurangan bukti dalam mengaitkannya secara lansung.

Sebentar tadi kita telah melihat secara tereperinci berkaitan rawatan moden dalam merawat masalah jerawat. Walaupun ianya didakwa berkesan, namun ia sama sekali tidak menyembuhkan seseorang daripada masalah jerawat. Rawatan moden lebih mengfokuskan kepada kaedah pengawalan jerawat. Ia juga memiliki kesan sampingan yang kadang-kala sukar diramal dalam sesetengah pesakit. Kali ini, kita akan melihat pula rawatan memerangi jerawat yang menggunapakai kaedah tradisional/ holistik. Ia tidak menggunakan bahan kimia berbahaya namun perlu diingatkan bahawa rawatan ini sama sekali tidak disokong oleh kajian saintifik yang kukuh. Sekiranya ada, namun ia kekurangan bukti kerana para penyelidik gagal dalam mengaitkan kesan positif penyembuhan yang total berdasarkan standard saintifik yang ditetapkan. Namun, anda masih boleh mencuba kaedah ini kerana, ia bukan sekadar popular, malah lebih digemari kerana kesannya yang lebih terserlah berbading rawatan moden ( dalam sesetengah kes ).



Rawatan tradisional/ holistik


Rawatan tradisional/ holistik terdir daripada 2 jenis bentuk rawatan, topikal dan oral. Saya akan menyentuh terlebih dahulu berkaitan rawatan topikal kerana ianya merupakan antara rawatan paling mudah dan ringkas dalam kategori rawatan tradisional/ holistik.



Tea Tree Oil


1) Tea Tree Oil adalah antara rawatan topikal paling popular. Ia dikatakan berkesan dalam merawat masalah jerawat kecil dan sederhana. Ini kerana tea Tree Oil memiliki sifat antioksida dan anti bakteria yang dapat membunuh bakteria P.Acne. Tea Tree Oil amat popular sehingga ia digunakan di dalam produk kosmetik. Ia meliputi pembersih muka, toner dan krim sapuan malam. Walaubagaimanapun, sesetengah individu sangat sensitif terhadap bahan ini kerana kesan sampingan Tea Tree Oil yang paling ketara adalah kekeringan kulit dan kemerahan. Maka ia tidak digalakkan digunapakai kepada individu yang memiliki jerawat yang teruk, kulit sensitif dan kering walaupun secara umumnya, Tea Tree Oil adalah sesuai untuk kebanyakan individu.




Alpha Hydroxy Acid ( AHA )


2) Alpha Hydroxy Acid ( AHA )

Ia adalah rawatan topikal yang kerap digunakan sebagai pembersih muka dan amat popular dalam kebanyakan produk kosmetik termasuk jenama kosmetik terkenal dunia SK II. Ia membantu mengelupas lapisan sel dan kulit mati dan juga bertindak merangsangkan kolagen kulit. AHA bertindak hampir sama seperti Tretinoin, iaitu melalui kaedah anti-Hyperkeratinization, cuma ia lebih lembut dan kurang menyakitkan kulit. Antara komponen utama AHA adalah Glycolic Acid yang menjadi bahan utama dalam menanggalkan sel kulit mati dan merangsangkan penghasilan kolagen agar kulit lebih lembab. Memandangkan AHA bersifat pengelupasan, maka ia tidak digalakkan penggunaannya kepada individu yang memiliki kulit sensitif,. Ini dikhuatiri akan memburukkan lagi keadaan kulit seperti kemerahan dan kepedihan melampau. Selain itu, risiko sensitif terhadap cahaya matahari juga boleh berlaku kepada sesetengah individu.



Omega 3 Serum

3) Omega 3

Ia adalah sejenis minyak lemak baik yang bukan sahaja popular dalam regim oral supplement, malah terdapat juga dalam aplikasi topikal. Omega 3 bagaimanapun hanya membantu mengurangkan kesan keradangan dan kemerahan yang diakibatkan oleh jerawat. Ia sama sekali tidak membunuh bakteria jerawat atau menyembuhkan terus masalah jerawat. Bagaimanapun, Omega 3 dapat merawat masalah lain berkaitan jerawat seperti parut jerawat dan sebagainya. Ini kerana Omega 3 bersifat antioksida dan dipercayai dapat mengatasi masalah berkaitan walaupun memerlukan masa yang panjang. Memandangkan Omega 3 adalah bersifat minyak, maka ia hanya dibenarkan dipakai kepada individu yang benar-benar memiliki kulit kurang berminyak dan berjerawat teruk. Ini kerana, minyak dapat menyumbat liang pori dan ini menjadikan keadaan jerawat bertambah lebih buruk. Omega 3 lebih berkesan sekiranya digunakan dalam formulasi serum berbanding krim. Ini kerana, serum adalah lebih pekat dan tulen dan ianya perlu disapu secara nipis di kulit dan pada waktu malam sebelum tidur.



Clay Mask


4) Masking

Terdapat 2 jenis mask yang kerap digunapakai dalam mengurangkan masalah jerawat. Ia adalah mask berasaskan tanah liat ( clay ) dan arang ( charcoal ). Penggunaan Clay mask adalah lebih sesuai kepada individu yang memiliki kulit sensitif dan cenderung berminyak. Ini kerana mask jenis ini mengandungi mineral yang dapat melembut dan melembabkan kulit semasa pemakaiannya disamping menarik keluar sel-sel kulit mati dan lebihan minyak yang memerangkap pori. Bagi mask jenis Charcoal pula, ia lebih sesuai kepada individu yang memiliki kulit normal dan kurang berminyak. Ini kerana, walaupun mask berasaskan Charcoal lebih berkesan, namun ia mampu mengeringkan kulit terutama kepada sesetengah individu yang memiliki kulit sensitif dan kering.



Kojic Acid


5) Kojic Acid

Ia sering digunapakai dalam rawatan di pusat kecantikan. Kojic Acid bertindak dengan mengelupas lapisan sel kulit mati yang menjadi salah satu penyebab masalah jerawat bertambah teruk. Ia dikatakan menghilangkan jerawat, namun ia tidak dibuktikan dalam menyembuhkan masalah jerawat. Walaubagaimanapun, Kojic Acid tidak digalakkan penggunaan kepada individu yang memiliki kulit wajah yang sensitif dan kering. Ini kerana, ia berisiko menjadikan kulit lebih kering dan merekah, juga kemerahan selepas pemakaian.

Sebentar tadi kita telah melihat serba sedikit rawatan holitik/ tradisional berasakan topikal. Setelah dilihat secara terperinci, rawatan topikal juga hanya dapat mengurangkan masalah jerawat daripada bertambah teruk. Ia sama sekali tidak menyembuhkan pesakit walaupun kesannya amat memberangsangkan bagi sesetengah individu. Oleh itu, kali ini saya akan menyentuh pula beberapa rawatan oral tradisional/ holistik dalam merawat masalah jerawat. Seperti rawatan topikal, ia juga kekurangan bukti dalam menyembuhkan pesakit kerana rawatan sebegini, sehingga kini masih lagi kekurangan bukti dan kajian saintifik yang menyokongnya. Namun, ia tidak menjadi masalah untuk anda mencuba kerana terdapat beberapa laporan yang menyatakan bahawa rawatan oral berasaskan holistik/ tradisional adalah lebih membantu kerana kurang kesan sampingannya berbanding rawatan oral moden.



Glutathione


1) Glutathione

Sering ditag sebagai rawatan rawatan pencerahan, pemutihan dan detoks yang terkenal di seluruh dunia. Ia merupakan satu fenomena masakini yang dikatakan berkesan mencerahkan kulit dari dalam. Namun, ia juga sering dikaitkan dengan kesan positifnya dalam mengurangkan kemunculan jerawat. Walaupun ia dipertikaikan kesahihannya dan sering menjadi perdebatan dalam memulihkan masalah jerawat, namun ramai testimoni menunjukkan bahawa pengambilan Glutathione dapat mengurangkan masalah jerawat. Ini kemungkinan besar dikaitkan dengan kesan detoks yang dilakukan oleh Glutathione dalam mendetoks hati. Hati yang kotor dan terbeban menggambarkan tahap kesihatan kulit yang kurang seperti jerawat dan kegatalan. Secara umum, Glutathione adalah selamat diambil walaupun ada laporan yang menyatkan, pening dan gangguan perut adalah antara kesan sampingan yang sering dirasai semasa pengambil produk berasaskan Glutathione.



Alpha Lipoic Acid ( ALA )


2) Alpha Lipoic Acid ( ALA )

Mendapat gelaran Fountain of Youth ( Telaga Kekal Muda ) di Barat, ALA adalah sejenis sebatian seakan vitamin tetapi membawa sifat antioksida di dalam badan. Bebeza dengan lain-lain antioksida semulajadi badan, ia unik kerana ia mampu larut dalam air dan juga lapisan lipid. Ini menjadikan ia mampu mengitar semula radikal bebas di kedua-dua bahagian badan seperti darah, otot, lapisan luar dan dalam sel badan. Dalam rawatan jerawat, ia dipercayai mengurangkan keradangan akibat jerawat dan membantu membersihkan laing pori dari dalam.Walaupun kekurangan data serta bukti kajian yang mengaitkan bahawa pengambilan ALA dapat mengurangkan masalah jerawat, namun ia amat popular di beberapa negara seperti USA dan Filipina. Selain itu, ia juga memerlukan masa yang panjang untuk mendapatkan kesan yang diingini.


Colostrum


3) Colostrum

Menjadi pilihan No.1 saya kepada individu yang mengalami masalah jerawat. Colostrum adalah sejenis bentuk susu yang dihasilkan oleh kelenjar mamalia dan sumber berasaskan bovine seperti lembu. Colostrum mengandungi Lactoferrin yang membawa kesan antibiotik semulajadi dan ini dipercayai dapat membunuh bakteria jerawat dan melawan keradangan yang timbul. Colostrum juga mengandungi Proline-Rich Polypeptide ( PRP ), salah satu bahan utama yang digelar anti-virus terunggul. Colostrum juga mengandungi beberapa protein baik serta asid amino yang dapat menjadikan penampilan kulti lebih terselah dan kurang berminyak. Ini dapat membantu merawat masalah kulit dan kesan secara lansung yang diakibatkan oleh jerawat seperti parut, liang pori terbuka dan pigmentasi. Namun, ia bergantung kepada penerimaan seseorang individu dan mengambil masa untuk melihat kesan positifnya



Zink


4) Zink

Satu-satunya rawatan anti jerawat berasaskan elemen surih ( trace element ) yang diiktiraf. Zink mengandungi sifat antioksida dalam kuantiti yang kecil dan ia bertindak dengan mengurangkan masalah keradangan yang diakibatkan jerawat, namun tidak merawat punca akar jerawat. Walaupun kesan pengurangan keradangan jerawat yang jelas kelihatan, namun ia masih dipertikaian keberkesananya kerana pengamal perubatan kurang mempercayai kesannya dan dikhuatiri akan mengakibatkan kesan toksik yang akut sekiranya terlebih dos pengambilan.



Vitamin E

5) Vitamin E

Ia bertindak dengan mengurangkan masalah keradanagn jerawat dan melembabkan kulit dari dalam, sekaligus mengurangkan pengeluaran minyak yang berlebihan. Vitamin E terkenal dalam rawatan dan kesihatan kulit, namun hanya Vitamin E Tocotrienol sahaja yang menunjukkan kesan pemulihan dan kesihatan kulit yang optimum. Tetapi, anda masih boleh memilih Vitamin E Tocopherol dan gabungan kedua-dua famili vitamin ini adalah digalakkan.



 Evening Primrose Oil ( EPO )


6) Evening Primrose Oil ( EPO )

Digelar Minyak Keabadian dalam merawat masalah berkaitan kulit dan hormon. Ia merupakan salah satu daripada Top 3 pilihan saya dalam merawat masalah jerawat. Ia bertindak dengan mengawalatur ketidakseimbangan hormon badan dan ini dapat mengurangkan pengeluaran jerawat yang dikaitkan oleh hormon. Walaupun ramai testimoni menunjukkan kesan pengurangan jerawat yang agak ketara seperti pengecilan liang pori dan kulit kurang berminyak, namun EPO masih dipertikaikan keberkesannya merawat jerawat kerana ia hanya bertindak dalam mengawal atur masalah hormon, bukan menentang jerawat secara tepat. Selain itu, tidak semua individu akan memiliki kesan penyembuhan yang sama kerana sesetengah individu mendakwa pengambilan EPO lebih memburukkan keadaan jerawat yang dihidapi mereka. Tidak jelas sejauh mana dakwaan ini, namun ia bergantung kepada individu dalam menerima kesan positif EPO.



Astaxanthin


7) Astaxanthin

Antara Top 3 pilihan antioksida saya dalam merawat masalah jerawat. Terkenal dengan jolokan antioksida terkuat di dunia, ia adalah antioksida paling berkuasa untuk kulit dan segenap inci sel badan termasuk mata dan otak. Dalam menangani masalah jerawat, ia dipercayai mengurangkan masalah keradangan dan meningkatkan kelembapan kulit juga memberi perlindungan daripada sinaran UV yang merosakkan kulit. Ia bagaimanapun memerlukan masa yang agak panjang untuk mendapatkan kesan yang optimum.

Kita telah melihat beberapa contoh rawatan, baik moden atau tradisional/ holistik dalam merawat masalah jerawat. Bagaimanapun, sehingga kini, kedua-dua rawatan tidak sepenuhnya menyembuhkan masalah jerawat dari pangkalnya. Ini kerana, jerawat merupakan satu masalah yang kompleks. Apa yang boleh dilakukan oleh kita hanyalah mencuba pelbagai rawatan yang terdapat dalam menangani masalah ini.Sedikit tips dalam mencegah masalah jerawat secara rutin :

1) Sentiasa bersihkan wajah anda dengan air bersih setelah wajah kelihatan berminyak. Namun, jangan kerap melakukannya kerana ia akan menyebabkan kulit menjadi kering'

2) DILARANG memakai sebarang krim berasaskan minyak ( oil-based ) terutama kepada infividu yang cenderung memiliki kulit yang berminyak. Ini akan memburukkan keadaan jerawat. Antara krim yang tergolong adalah krim SPF dan pelembab ( moisturizer )

3) Pilih pembersih muka yang sesuai mengikut jenis kulit anda. Pembersih muka yang terlalu kasar akan menyebabkan kulit menjadi kering. Antara petanda kulit kering selepas membersihkan muka dengan pembersih muka adalah kulit terasa tegang dan merekah. Digalakkan memilih pembersih muka berasaskan tanah liat/ lumpur ( mud )

4) Peka terhadap makanan yang menyebabkan jerawat terutama kepada individu yang menghidapi masalah resdung dan sinus. Walaubagaimanapun, kekacang dan coklat ( kecuali coklat berkadar gula tinggi ) sama sekali tidak menyebabkan masalah jerawat

5) Kurangkan pengambilan makanan bergula tinggi

6) Digalakkan pengambilan supplemnet dalam mengatasi masalah kulit kering

7) Cuci wajah dengan air bersih sebelum tidur. Ini dapat melembabkan wajah semasa anda tidur

8) Digalakkan memakai serum pembaikan wajah sebelum tidur

9) DILARANG menyentuh jerawat dengan jari atau kuku. Ini kerana tangan adalah tempat paling mudah bakteria membiak

Tips diatas merupakan antara beberapa tips yang boleh diamalkan oleh anda. Masih terdapat banyak lagi tips yang boleh diamalkan oleh anda dan ia membantu anda mengatasi masalah jerawat yang dihidapi. Semoga dengan perkongsian ini, masalah jerawat dapat diatasi atau dikurangkan. Selamat berhujung minggu

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hai. Saya mengalami masalah jerawat yang taklah teruk sangat. Dan sejak beberapa minggu yang lepas, saya ambil vitamin c dan masalah jerawat saya berkurang tapi lambat. Sebenarnya berapa dos vitamin c yang boleh diambil dalam sehari? Dan dalam banyak banyak suplemen yang saudara sebut di atas , yang mana saudara syorkan untuk saya ambil? Dan akhir sekali adakah pengambilan vitamin shaklee yang sangat popular sekarang sebagai contoh vitamin b c dan e untuk merawat masalah jerawat boleh diamalkan . Thanks ya

Khalilah Hussin berkata...

hai ambil doxycycline + vit c boleh ke.. boleh ke ambik antibiotik masa PMS

Sofea CM Nasir berkata...

bagus sangat maklumat ni. Mohon saya share dalam blog saya ya.

ismi shahida berkata...

SALAM. SY NAK TNYA SGT NI, SY AMBIL ORATANE DENGAN SUPPLEMEN BOLEH KE?

Asri_tahar Tahar berkata...

Bolehkah saya ambil vitamin c selepas 12jam makan antibiotik Doxycycline?